Tab menu 2

Pages

Sabtu, 27 Disember 2014

Tekanan (Stress) Semasa Mengandung Boleh Pengaruhi Bayi



Tekanan semasa mengandung pengaruhi bayi....

Di antaranya ialah jangan membunuh binatang, jangan menegur sesuatu yang ganjil sekiranya terserempak di jalanan kerana dikhuatiri sesuatu yang buruk akan terjadi terhadap bayi.

Memang kita akui, terdapat banyak variasi di dalam persekitaran perinatal yang boleh menyebabkan perubahan kepada perkembangan bayi.

Contohnya, ibu yang mendapat infeksi rubela pada trimester pertama (iaitu 10 minggu pertama) boleh menyebabkan penyakit jantung kongenital pada bayi.

Ibu yang ketagih arak akan menyebabkan anak mengalami rencatan akal, bantut pembesaran, kecacatan anggota, jantung berlubang dan kecacatan kraniofasial. Gejala ini dikenali sebagai sindrom alkohol-fetal.

Sejauh manakah benarnya dakwaan orang tua-tua dahulu sukar untuk kita buktikan.


Persoalan yang ingin saya timbulkan pada minggu ini, adakah tekanan (stress) yang dialami oleh ibu semasa mengandung mempunyai kaitan dengan perkembangan emosi kanak-kanak?

Tekanan (stress) mempunyai banyak dimensi pengertian. Salah satu daripadanya mendefinasikan tekanan (stress) sebagai sebarang bentuk kesedaran psikofisiologikal yang boleh meletihkan sistem tubuh badan sehingga membawa kepada tidak berfungsi dan berpenyakit.

Ia mungkin berbentuk fizikal seperti penyakit mental seperti risau, gelisah dan spiritual seperti perasaan berdosa dan bersalah. Umum mengetahui bahawa tekanan (stress) menjadi begitu negatif sekiranya ia melepasi paras keupayaan seseorang menanganinya. Ia menjadi positif sekiranya kita dapat menyesuaikan diri dan meningkatkan kekuatan mekanisme adaptasi.

Seperti yang saya telah bincangkan pada minggu-minggu terdahulu, banyak perhatian para doktor ditumpukan kepada kelainan-kelainan mental yang berlaku selepas bersalin daripada melihat kepada masalah-masalah semasa mengandung yang mungkin memberi kesan semasa bayi.

Ini kerana pengetahuan kita tentang sejauh mana kemudaratan yang ditimbulkan sebelum bersalin sehingga memberi kesan ke peringkat bayi sangat terbatas.

Kebanyakan daripada pengetahuan yang ada adalah berkaitan dengan perkara-perkara fizikal sahaja seperti kelahiran tidak cukup bulan dan sebagainya. Pengetahuan yang berkaitan dengan kesan emosi ke atas bayi sangat terbatas dan berkurangan.

Kajian saintifik menunjukkan bukti bahawa bayi memperlihatkan tindak balas kepada bunyi-bunyian sekurang-kurangnya pada minggu ke-20 kandungan. (Hepper & Shahidullah: The development of fetal hearing. dalam Fetal & Materal Medicine Review. 1994).

Ini bermakna jika ibu menunjukkan reaksi stress ketika kandungan 5 bulan dengan memaki hamun serta memperkatakan perkara-perkara yang tidak baik, dikhuatiri akan memberi impak emosi kepada bayi yang dikandungnya.

Para alim ulama menasihati kita tentang perlunya ibu-ibu memperkatakan sesuatu yang baik dan banyak membaca al-Quran ketika mengandung.

Bayi yang di dalam kandungan akan teransang dengan bunyi-bunyian dari ayat-ayat al-Quran yang didengarinya.


Justeru itu diharapkan apabila lahir dan membesarkan kemudian hari, conditioning yang sedia terbentuk disertai dengan keadaan rumah tangga yang penuh hikmah dan suasana persekitaran yang kondusif akan melahirkan insan-insan yang soleh, beriman serta mempunyai daya juang yang tinggi untuk agama, bangsa dan negaranya.


Masyarakat India yang beragama Hindu juga mempercayai bahawa ibu yang mengandung perlu dijaga supaya tidak memudaratkan kandungannya.

Oleh itu, masyarakat India melarang sekiranya mengejutkan ibu mengandung bangun dari tidur dengan cara menggoyang-goyangkan badannya.

Ia dikhuatiri akan mendatangkan rasa terkejut pada ibu yang boleh menimbulkan tekanan (stress) dan memudaratkan bayi yang dikandung. Cara yang mereka cadangkan ialah dengan menguis badannya perlahan-lahan atau membiarkan dia terus tidur.

Pengalaman seharian menunjukkan bahawasanya jika seorang suami mencederakan isterinya ketika mengandung dengan melakukan penganiayaan fizikal berulang-ulang kali, maka anak akan lahir cacat atau dilahirkan tidak cukup bulan. Adakah ini benar?

Kebanyakan kajian perubatan yang dijalankan untuk menjawab persoalan di atas, didapati menuju kepada suatu kesimpulan yang sama iaitu; sekiranya ibu menghadapi masalah psikologi ketika mengandung, ia akan memberi kesan kepada kandungannya.

Ini akan menyebabkan bayi tersebut lahir tidak cukup bulan dan kurang berat badan. (Pagel 1990 & Copper 1996).

Mengapakah terjadinya demikian? Tentu sekali sebab-musababnya hanya Allah Ta'ala sahaja yang mengetahui.

Suatu penjelasan yang mungkin adalah kerana meningkatnya hormon stress dalam diri ibu mengecilkan saluran darah ke rahim, sehingga mengurangkan aliran darah kepada bayi. Kekurangan aliran darah akan seterusnya membina tindak balas tekanan (stress) dalam diri bayi.

Bayi yang mengalami tekanan (stress) akan terdedah kepada risiko lahir tidak cukup bulan, kurang berat badan berbanding usia kandungan yang sebenar.

Keadaan ini menimbulkan masalah kesihatan dan penjagaan setelah lahir kerana mereka mudah terdedah kepada infeksi kuman. Bayi ini juga didapati lebih beremosi dan memerlukan perhatian yang lebih daripada ibu bapa.

Keadaan ini melahirkan lingkaran kemiskinan (vicious cycle) yang berputar di dalam suatu pusingan.


Setelah mengetahui hubung kait di antara tekanan (stress) semasa mengandung dengan emosi bayi kita seharusnya berfikir bagaimana untuk menghalang tekanan (stress) di dalam diri ibu-ibu yang mengandung.


  • Pertama sekali, ibu-ibu haruslah menjaga kesihatan mereka. Ini termasuklah mengambil makanan yang seimbang. Ini penting supaya ibu dan bayi yang dikandung, sihat secara fizikal.
  • Lakukan senaman yang sesuai dan tidak memenatkan. Selain daripada pelvic floor exercise seperti yang dinasihatkan oleh doktor sakit puan, ibu-ibu boleh melakukan gerak kerja relaksasi dan latihan pernafasan.
  • Latihan ini berguna di mana sahaja, sama ada ketika kita tertekan dan keletihan di tempat kerja, semasa menunggu bas atau suami menjemput pulang atau ketika masa kelahiran di dalam bilik bersalin.
  • Rancang supaya anda mempunyai rehat yang mencukupi terutama ketika badan keletihan di siang hari.
  • Anda perlu mempunyai tidur yang cukup di malam hari.
  • Tentu sekali, jika anda mempunyai pilihan, elakkan tekanan berlebihan di dalam hidup anda. Amalkan cara kehidupan yang riang dengan memberi banyak senyuman dan ketawa. Sentiasa bersyukur dengan apa yang ada, moga-moga Allah akan melipat gandakan rezeki dan peluang yang akan anda kecapi.
  • Sebagai seorang yang paling hampir dengan isteri, suami boleh memainkan peranan yang penting untuk membantu mengurangkan stress.
  • Menolong isteri melakukan kerja rumah atau melayan anak-anak dapat memberi ruang kepada isteri untuk berehat. Ini secara tidak langsung membantu mengurangkan tekanan (stress) kepada bayi di dalam kandungan.
  • Suami boleh memberi sokongan emosi yang besar kepada isteri dengan menjadi seorang pendengar kepada permasalahan yang dihadapi oleh isteri. Kaunselor yang paling berkesan bagi isteri adalah suami.
  • Majikan yang bersimpati juga boleh membantu mengurangkan bebanan tugas ketika di tempat kerja.
  • Kerajaan boleh memikirkan cara dengan memberikan cuti khas kepada kakitangan wanita ketika mengandung terutama sekali ketika saat-saat hampir dengan due date.
  • Di samping membolehkan mereka bersedia untuk saat-saat kelahiran, ia membantu mengurangkan tekanan 'pada saat-saat akhir'.

Kita semua boleh melakukan sesuatu. Matlamat akhirnya adalah untuk melahirkan insan yang soleh, warganegara yang sihat, sempurna tubuh badan, akal fikiran, berbudi luhur yang akan menggembleng tenaga untuk memajukan agama, bangsa dan negara yang kita cintai.

Oleh: DR. MOHD. JAMIL HJ. YAACOB
Artikel penuh Dari UtusanOnline



Anda boleh tangani Stress atau Kelahiran Bayi Pramatang Dengan
  • B Complex
  • Omega Guard

Fungsi B Complex Tangani Stress


Fungsi Omega Guard Dalam Kehamilan







Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...