Tab menu 2

Pages

Sabtu, 27 Disember 2014

Kemurungan Ketika Kehamilan Dan Cara Tangani



Apakah tanda-tanda kemurungan?Apakah sebab kemurungan ini?Bagaimanakah saya boleh menangani kemurungan?Bilakah saya patut bimbang?Bagaimana pula selepas saya bersalin?

Anda telah membuat ujian kehamilan, dan berkongsi berita gembira ini dengan semua orang. Semua orang kata, "Tahniah! Awak pasti sangat gembira!" Ya, anda gembira yang kini anda hamil, tetapi pada masa yang sama, anda tidak begitu teruja. Malah, kadang-kala anda rasa tidak gembira. Lebih teruk lagi, anda rasa bersalah kerana tidak gembira dan seterusnya menjadi murung. Adakah anda seorang sahaja yang mempunyai perasaan sebegini? Jawapannya tidak. 
Apakah tanda-tanda kemurungan?Kehamilan adalah sesuatu yang menggembirakan, tetapi bukan setiap masa, dan bukan setiap wanita merasa begitu. Kira-kira satu dalam 10 wanita mengalami kemurungan semasa hamil. 

Kita mungkin cuba menutup perasaan ini kerana kita selalu percaya bahawa kehamilan adalah masa yang menggembirakan, atau kita mungkin menganggap kesedihan itu sebagai"angin tak baik" yang sering berlaku semasa hamil. Tetapi kemurungan boleh menjadi masalah serius bagi sesetengah wanita. 

Tidak mudah untuk mengumpulkan beberapa simptom dan mengatakan ia akan menjurus kepada kemurungan kerana masalah ini berbeza dari seorang wanita ke wanita lain. Sesetengahnya mempunyai angin tak baik sepanjang masa, sesetengah yang lain pula merasa jengkel dan sering menangis, atau merasa diri tak berguna dan tidak mahu hidup. Kemurungan boleh menjejaskan emosi dan fizikal serta tindak-tanduk anda. 

Berikut adalah beberapa simptom yang mungkin ada jika anda mengalami kemurungan:tidak dapat menumpukan perhatian;sentiasa bimbang;rasa sangat jengkel;masalah tidur;keletihan yang teruk atau berpanjangan;keinginan untuk makan setiap masa atau tiada selera makan langsung;perasaan bahawa tiada apa yang menggembirakan atau menyeronokkan;rasa sedih yang berterusan.Apakah sebab kemurungan ini?Sebelum ini, hormon kehamilan dipercayai mempunyai "kesan perlindungan" daripada kemurungan, kerana ramai wanita yang mempunyai perasaan dan emosi yang bagus semasa hamil. Namun, kini diakui bahawa tekanan dan stres akibat kehamilan dan menjaga anak kecil boleh membuatkan kaum wanita terdedah kepada masalah ini. 

Jika terdapat mana-mana aspek dalam kehidupan anda yang tidak berjalan lancar, maka anda menjadi lebih terdedah kepada kemurungan. Contohnya, sebab utama kemurungan semasa hamil ialah masalah perhubungan. Jika anda tidak mempunyai hubungan yang baik dengan suami, atau suami anda tiada di sisi, maka anda lebih berkemungkinan untuk mengalami kemurungan. 

Sebab-sebab lain: 

Peristiwa dalam hidup yang memberi tekanan 
Adakah anda akan berpindah ke rumah yang lebih besar sebagai persiapan menyambut kehadiran bayi ini? Adakah anda mempunyai masalah di tempat kerja? Apa-apa perubahan besar dalam kehidupan harian seperti perpindahan, atau peristiwa penting dalam hidup seperti perceraian atau kehilangan kerja boleh menyebabkan kemurungan. 

Pendapatan rendah 
Tiada pekerjaan dan tiada kelayakan kedua-duanya memainkan peranan, tetapi jumlah pendapatan yang rendah itu sendiri mempunyai kaitan besar dengan kemurungan pranatal. 

Masalah kehamilan 
Kehamilan yang bermasalah, contohnya yang menyebabkan mabuk hamil yang teruk, boleh mengganggu emosi. Jika anda tidak mahu hamil pada ketika ini, maka perkara ini juga akan menyumbang kepada kemurungan. 

Komplikasi dalam kehamilan terdahulu 
Pengalaman hamil dan bersalin yang terdahulu boleh mencorak bagaimana anda rasa mengenai kehamilan ini. Kajian telah menunjukkan bahawa komplikasi dalam kehamilan terdahulu mempunyai kaitan dengan kemurungan pranatal. 

Masalah kesuburan atau keguguran 
Jika anda mengalami banyak kesulitan untuk hamil, atau pernah mengalami keguguran di masa lalu, anda mungkin akan merasa risau mengenai kesihatan kandungan sekarang. 

Penderaan, samada di masa lalu atau sekarang
Kehamilan boleh menjadi penyebab bagikeganasan rumah tangga atau menjadikannya lebih teruk. Bagi wanita yang pernah mengalami penderaan emosi, seksual, fizikal atau melalui tutur kata, memori hitam ini boleh muncul semula akibat kehamilan. Badan anda kini berubah tanpa boleh dikawal, dan ini boleh mengembalikan isu-isu yang telah lama terpendam. 

Anda sepatutnya boleh berbincang dengan selamat dengan doktor anda semasapemeriksaan pranatal, di mana anda boleh memberitahu beliau mengenai sebarang penderaan (dulu atau sekarang) supaya anda boleh mendapat bantuan dan sokongan yang sewajarnya. 

Sejarah kemurungan peribadi atau dalam keluarga 
Jika masalah kemurungan berlaku dalam keluarga anda, atau jika anda sendiri pernah mengalami kemurungan, anda mungkin lebih berkemungkinan untuk menjadi murung. Tetapi bukti menunjukkan bahawa ini meletakkan anda dalam risiko lebih tinggi untuk mendapatkemurungan selepas bersalin atau meroyan (postnatal depression), berbanding kemurungan semasa hamil. 

Semasa pemeriksaan pranatal, doktor anda mungkin akan bertanya mengenai kesihatan mental anda pada masa ini dan terdahulu supaya anda boleh mendapat bantuan apabila anda memerlukannya. 

Bagaimanakah saya boleh menangani kemurungan?

Berehatlah 
Tahan keinginan untuk membuat seberapa banyak tugas yang anda boleh sebelum kelahiran bayi. Letakkan diri anda di tempat teratas dalam senarai perkara yang anda perlu buat. Anda tidak akan mempunyai banyak masa untuk diri sendiri sebaik sahaja bayi anda lahir. Bacalah buku, bersarapan di katil, atau keluar dengan rakan. Menjaga diri sendiri adalah satu perkara yang penting dalam penjagaan bayi. 

Bersenam 
Walaupun ini bukanlah masa yang terbaik untuk memulakan regim senaman yang berat, senaman boleh membantu memperbaiki mood anda. Berenang, berjalan dan kelas senaman pranatal selamat dilakukan semasa hamil. Tahu lebih lanjut mengenai senaman yang disyorkan sepanjang kehamilan dan sasarkan untuk membuatnya tiga kali seminggu. 

Luahkan 
Berbincanglah dengan suami anda dengan jujur. Anda perlukan sokongannya, dan dia hanya boleh melakukan perkara ini jika anda berterus terang. Anda juga boleh meluahkan kebimbangan anda mengenai masa depan dengan rakan-rakan dan ahli keluarga. 

Cubalah terapi atau kaunseling 
Jika anda telah melakukan segala-galanya untuk mengeluarkan diri daripada kemurungan ini selama dua minggu tetapi tidak berhasil, berjumpa dengan ahli terapi atau kaunseling mungkin membantu. Anda perlu mendapatkan seseorang yang boleh dipercayai dan yang anda rasa selamat untuk bercakap tentang hal ini. 

Bilakah saya patut bimbang?Jika anda rasa seperti hendak membunuh diri, atau hilang pertimbangan, tidak dapat menjalankan tanggung jawab harian, atau jika anda mengalami serangan panik, berbincanglah dengan doktor anda dengan segera. Ini sangat penting terutamanya jika anda dapati sukar untuk menjaga diri sendiri dan tidak lalu makan, kerana ini boleh menjejaskan perkembangan bayi dalam kandungan anda. 

Berjumpa ahli terapi atau psikiatri bukan tanda kelemahan. Ia adalah tanda bahawa anda adalah seorang ibu yang baik, yang sanggup mengambil apa sahaja langkah yang perlu untuk menjamin keselamatan dan kesihatan diri dan bayinya. 

Jika kesemua cara di atas tidak berkesan dan kemurungan membuat hidup anda semakin sukar, berbincanglah dengan doktor mengenai ubat-ubatan. Memanglah anda boleh mengambil ubat anti-kemurungan semasa hamil, tetapi anda perlukan bantuan untuk menimbangkan kebaikan dan keburukannya dengan berhati-hati. Ini kerana, terdapat kemungkinan kecil yang kesihatan anda dan bayi boleh terjejas akibatnya. 

Ubat anti-kemurungan yang biasa disarankan oleh doktor ialah fluoxetine, yang mempunyai jenama Prozac. Ia merupakan sejenis ubat anti-kemurungan yang dipanggil selective serotonin reuptake inhibitors (SSRIs). 

SSRIs dipercayai meningkatkan risiko kecacatan jantung pada bayi. Dipercayai juga bahawa mengambil beberapa jenis ubat anti-kemurungan terutamanya venlafaxine (Efaxor) atau paroxetine (Seroxat), atau mengambil gabungan beberapa jenis ubat anti-kemurungan, boleh meningkatkan sedikit kemungkinan untuk gugur. Tetapi kemurungan yang teruk juga tidak baik untuk kesihatan anda dan bayi. Bincanglah dengan doktor anda mengenai apa yang terbaik untuk anda. 
Bagaimana pula selepas saya bersalin?Kajian menunjukkan ada kaitan di antara kemurungan semasa hamil dan kemurungan selepas bersalin, tetapi ini tidak bermakna jika anda murung semasa hamil, anda akan murung juga selepas bersalin. 

Pakar masih mencari jalan terbaik untuk membuat saringan ke atas wanita yang mengalami kemurungan pranatal supaya mereka dapat mengenalpasti siapakah yang berisiko tinggi mengalami kemurungan selepas bersalin. Dengan mempunyai kumpulan sokongan sekarang, yang terdiri daripada rakan-rakan, ahli keluarga, suami, doktor dan ahli terapi, bermakna bantuan telahpun tersedia jika anda memerlukannya selepas bersalin. 

Artikel Penuh Dari BabyCenter


Anda boleh tangani Stress atau Kelahiran Bayi Pramatang Dengan
  • B Complex
  • Omega Guard

Fungsi B Complex Tangani Stress


Fungsi Omega Guard Dalam Kehamilan







Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...